Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 66: Masalah dengan dua jalur lebar wayarles. 19 Mac 2012.

Diskusi ICT 62




Assalamualaikum.



Komputer riba saya tidak boleh sambung kepada internet jalur lebar tanpa wayar dengan lebih daripada satu syarikat pembekal perkhidmatannya?



Ida Khalidah, KL.



Wa’alaikumussalam. Kebanyakan syarikat pembekal perkhidmatan internet jalur lebar tanpa wayar ini menggunakan modem yang disambungkan pada port USB komputer riba untuk dapatkan sambungan ke akaun internet yang dilanggan. Jadi, pastikan komputer riba yang digunakan tidak mempunyai masalah pada port USB-nya. Ini ada dibincangkan dalam ruangan Sembang ICT yang lepas. Boleh rujuk kembali.



Sekiranya port USB pada komputer riba tiada masalah, pastikan pula modem internet jalur lebar tanpa wayar yang digunakan tiada masalah untuk dibaca oleh komputer riba. Kebanyakan komputer riba pada masa kini, sistem pengoperasiannya akan mengesan kehadiran modem internet jalur lebar tanpa wayar itu secara automatik apabila ia dipasangkan pada port USB.



Seterusnya pasang aplikasi pemacu atau driver bagi modem tersebut kepada komputer riba yang hendak digunakan. Biasanya ia berada bersama-sama dengan CD atau DVD yang disertakan sekali bersama dengan modem yang dibekalkan.Sekiranya tidak, boleh dibuat secara manual pada konfigurasi sistem pengoperasiannya untuk penambahan perkakasan. Sebagai contoh pada Windows XP, klik pada butang Start > Setting > Control Panel > Add Hardware. Aplikasi pemacu bagi modem tersebut juga boleh dimuat turun daripada internet menerusi laman web syarikat pengeluarnya.



Kebiasaannya, modem internet jalur lebar tanpa wayar ini boleh dikesan dan dipasang pada sesebuah komputer secara automatik tanpa perlu dilakukan konfigurasi pada komputer tersebut. Seterusnya, pastikan juga modem internet jalur lebar tanpa wayar yang digunakan tidak rosak dan bermasalah. Ini boleh dipastikan dengan merujuk kepada manual pengguna dan pihak syarikat pembekal internet jalur lebar tanpa wayar yang dilanggan.



Setelah dipastikan tiada masalah berkenaan dengan modem internet jalur lebar, barulah dilihat dari segi sambungan internet kepada komputer riba tersebut. Perkara ini pun biasanya pada komputer pada masa kini akan dikesan dan berfungsi secara automatik tetapi fungsi keselamatannya perlu dikonfigurasikan dengan baik.



Sekiranya sambungannya bermasalah, sila buat konfigurasi sambungan akaun internet tersebut pada komputer riba pada fungsi sambungannya. Sebagai contoh dalam Windows XP, konfigurasi itu boleh dicapai pada Start> Setting > Control Panel > Network Setup Wizard. Dalam Windows XP, konfigurasi ini juga boleh dilakukan pada fungsi Network Connections.



Sekiranya masih bermasalah sambungan internet tersebut, boleh dipasang aplikasi sambungan yang disediakan oleh pihak pembekal internet jalur lebar tanpa wayar. Biasanya, ia disediakan bersama-sama dengan modem yang disediakan. Setelah memasang aplikasi sambungan tersebut, buka aplikasi dan klik pada butang/menu sambungan atau connection. Seterusnya, ikuti langkah-langkah dan konfigurasi yang perlu. Sila rujuk kepada manual pengguna modem yang disediakan.









No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.