Monday, December 31, 2012

Bicara IT 6: Internet of Things (IoT): Fenomena Big Bang Dunia Siber. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 26 Disember 2012.

Internet of Things (IoT) : Fenomena Big Bang Dunia Siber

oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali


IoT adalah satu konsep yang menerangkan berkenaan dengan perkembangan perkhidmatan internet kepada bentuk fizikal seperti barangan pengguna dan aset fizikal yang mempunyai sambungan internet. Konsep dan visi ini telah wujud lama dalam dunia penyelidikan. Namun begitu, ia telah berkembang ke dunia komersial disebabkan oleh beberapa teknologi yang berkait rapat dengan sambungan internet seperti teknologi komunikasi, pengesahan kendiri, pengawasan, pengenalpastian dan penggunaan sensor.

Penggunaan sensor untuk tujuan pengesanan sesuatu perkara dan berkomunikasi telah berubah ke bentuk sensor tertanam atau embedded sensor dalam sesebuah alat komunikasi dan mudah alih. Penggunaan sensor tertanam bagi alat komunikasi dan mudah alih ini adalah untuk penggunaan aplikasi tertentu seperti kamera, kompas, accelerometer, pengimbas kod QR (Quick Response), alat GPS (Geographical Positioning System) dan lain-lain. Bilangan alat dan kawasan liputan yang menggunakan teknologi sensor tertanam ini semakin banyak dan meluas.

Seterusnya, perkembangan penggunaan teknologi pemprosesan imej yang digunakan untuk mengenal pasti sesuatu objek, orang, bangunan, tempat, logo dan lain-lain berperanan penting dalam perkembangan teori IoT ini. Hari ini, teknologi pemprosesan imej sangat penting dan bernilai kepada para pengguna sama ada secara individu atau syarikat. Jadi, penggunaan alat komunikasi dan mudah alih seperti telefon pintar, komputer tablet dan lain-lain yang dilengkapi dengan kemudahan kamera telah menyemarakkan lagi penggunaan teknologi pemprosesan imej ini untuk menjadi satu kemudahan bagi seseorang individu dan syarikat.

Kemudahan pembayaran menggunakan teknologi pembayaran NFC (Near Field Communication) dalam urusan jual beli semakin berkembang pesat seiring dengan kepesatan penggunaan kemudahan internet. Teknologi NFC ini membenarkan pengguna membuat pembayaran dengan menggunakan telefon bimbit yang dimbas kepada alat NFC dengan sambungan gelombang radio. Penggunaan teknologi NFC ini sangat berkesan dan baik bagi memantapkan sesuatu perkhidmatan kepada pengguna oleh sesebuah syarikat terutama dalam bidang kesihatan, pengangkutan awam, peruncitan, penerbangan, pelancongan dan lain-lain.

Dalam teknologi NFC ini, pembayaran dibuat menggunakan sambungan gelombang radio tetapi proses pendaftaran, pengemaskinian akaun, pengurusan akaun dan lain-lain dibuat menerusi aplikasi berasaskan web yang memerlukan sambungan internet. Antara aplikasi pemmbayaran menggunakan teknologi NFC ini adalah seperti Google Wallet, MasterCard Pay Pass dan lain-lain.

Jadi, perkembangan pesat pengunaan aplikasi komputer yang menggunakan pelbagai jenis teknologi dengan sambungan internet membuatkan bukan sahaja komputer tablet dan telefon pintar mempunyai sambungan internet tetapi peralatan elektrik dan elektronik yang lain seperti peti sejuk, kereta, televisyen dan sebagainya turut mempunyai sambungan internet. Alat-alat inilah yang dikenali sebagai things atau benda dalam teori IoT.

Terdapat satu ciptaan alat kekotak yang bernama Twine. Saiz Twine ini adalah sebesar sekeping kad kredit. Ia mempunyai sambungan internet dan berupaya membaca dan menghantar isyarat elektronik bagi sesebuah peralatan elektrik dan elektronik seperti mesin basuh, televisyen dan lain-lain. Kekotak Twine ini akan membaca sesuatu sensor bagi mengukur suhu, pergerakan atau kelembapan dan hasilnya akan dikomunikasikan dengan pemiliknya menerusi talian internet.

Visi sambungan keseluruhan dunia menerusi internet dalam teori IoT memerlukan sesuatu objek itu bersifat kendiri iaitu berupaya menjaga dan mengawal dirinya sendiri. Ini memerlukan satu piawaian dan teknologi sedia ada yang menyokong komunikasi menerusi internet. Teknologi web semantik adalah antara teknologi pintar yang diperlukan bagi sesuatu objek atau benda dalam IoT agar ia bersifat kendiri menerusi sambungan internet.

Web semantik adalah sejumlah data daripada sesebuah laman web yang menggunakan sesuatu teknologi dan kaedah tertentu bagi membolehkan sesebuah komputer ini memahami makna (semantik) sesuatu maklumat yang dimiliki atau diproses dalam persekitaran WWW (World Wide Web). Kalau sebelum ini hanya manusia sahaja yang memahami sesuatu data atau maklumat tetapi dengan teknologi web semantik, komputer itu sendiri akan memahami data atau maklumat tersebut.

Penggunaan teknik pengalamatan IPv6 akan mempunyai julat atau jumlah alamat yang mencukupi bagi kesemua benda atau things yang wujud di persekitaran internet dalam IoT. Ini penting untuk keunikan pengenalan diri bagi sesuatu benda di internet. Saiz alamat bagi pengalamatan IPv6 ialah 2128 yang bersamaan dengan 3.4 X 1038 atau 340 undecillion alamat.

Teori IoT ini telah berkembang pesat seiring dengan perkembangan penggunaan aplikasi komputer menerusi internet. Aplikasi komputer tersebut akan lebih bersifat kendiri dan bestari. Sebagai contoh, bakul-bakul yang berada di pasar raya berupaya mencadangkan kepada anda makanan yang berkhasiat atau memaparkan jumlah bayaran dan sebagainya. Begitu juga kereta anda boleh menerima maklumat kesesakan lalu lintas sebelum ia sampai ke kawasan tersebut dan seterusnya mengubah ke laluan alternatif. Sekiranya sesuatu barang seperti jam dan lain-lain hilang walau pun di rumah sendiri, carian boleh dibuat di internet untuk mengesan lokasi semasanya.

Perkembangan teori IoT semakin matang dengan kecanggihan teknologi web yang digunakan. Kini proses-proses yang wujud dalam teknologi web seperti carian, sambungan, pelayaran, caching dan lain-lain menimbulkan satu teori atau teknologi baru iaitu teori Web of Things (WoT) . Ini adalah hasil daripada kematangan teori IoT.





No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.