Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 83: Masalah pen drive. Utusan Malaysia. 17 September 2012.

Diskusi ICT 82




Salam. Saya ada sebuah Pen Drive berkapasiti 32 GB tetapi hanya boleh memuatkan fail bersaiz 5.76 GB sahaja. Sekiranya untuk simpan fail yang seterusnya akan akan keluar ralat, ‘’ the disk cannot be written to because it is write protected. please remove the write protection from the volume NEW VOLUME in drive \device\harddisk3\DR13”. Bagaimana untuk mengatasinya ?

Azizul Azamin, KL

Wassalam. Terima kasih. Fungsi write protected ini sama dengan fungsi write protected yang ada dalam cakera liut atau disket yang popular digunakan sebagai media storan sebelum ini. Bezanya, bagi disket ada suis kecil di bahagian tepinya yang boleh diaktifkan atau tidak diaktifkan fungsi write protected ini.

Fungsi write protected ini adalah untuk menghalang mana-mana data ditulis ke atas sesuatu media seperti disket atau cakera storan USB. Apabila sesuatu fail atau data disimpan ke dalam sebuah Pen Drive, ia merupakan satu operasi write. Jadi, ia akan dihalang kerana fungsi write protected itu aktif.

Bagi sebuah cakera storan USB seperti Pen Drive yang digunakan, untuk menyahaktifkan fungsi write protected yang wujud, perlu menggunakan perisian tertentu atau program komputer yang sedia ada. Seterusnya akan dibincangkan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyahaktifkan fungsi write protected tersebut pada sesebuah cakera storan USB.

1. Boleh mencuba dengan mencabut cakera storan USB dan memasang kembali kepada komputer yang digunakan. Ia boleh diulang beberapa kali.

2. Format cakera storan USB tersebut dengan sistem fail NTFS. Sekiranya masih berulang, boleh format USB tersebut pada tahap rendah atau low level format. Bagi format pada tahap rendah ini, ia perlu menggunakan aplikasi-aplikasi yang tertentu untuk pengurusan cakera atau disk management seperti aplikasi HDD Low Level Format Tool 4.25, Disk Part dan lain-lain.

3. Pergi ke aplikasi Registry Editor dalam Windows. Seterusnya pergi ke laluan HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Control\. Di sini, cari kekunci, StorageDevicePolicies. Sekiranya tiada, buat kekunci tersebut. Kemudian, bina satu pemboleh ubah baru di dalamnya, DWORD "WriteProtect". Masukan nilai 0 ke dalam pemboleh ubah tersebut.

4. Bagi konfigurasi secara manual dalam aplikasi Registry Editor tersebut, boleh digunakan aplikasi atau fail yang akan hasilkan konfigurasi tersebut secara automatik. Antaranya ia boleh di muat turun di laman web yang berikut, http://www.howtogeek.com/wp-content/uploads/DisableUSBWrite.zip. Muat turun dan klik sahaja pada fail tersebut.

5. Boleh juga menggunakan mana-mana aplikasi komputer untuk mengurus penggunaan cakera storan USB ini yang biasanya ada fungsi untuk nyahkan write protected ini seperti program USB WriteProtector dan lain-lain.

Kadang kala ia juga disebabkan oleh virus komputer. Jadi, cuba imbas dulu dengan perisian anti-virus yang sudah dikemaskini. Selamat mencuba. Fikir dahulu sebelum bertindak.









No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.